Thursday, 7 April 2011

teknologi REDO


KERIANGAN jelas terpancar pada riak wajah kanak-kanak apabila dapat bermandi-manda di kolam renang bersama sahabat dan keluarga terutamanya pada hujung minggu atau pun cuti sekolah.
Aktiviti renang bukan lagi perkara baru bagi golongan kanak-kanak dan dewasa kerana ia antara aktiviti sukan yang membantu menyihatkan tubuh badan.
Bagaimanapun, tidak semua orang dapat menikmati keseronokan di kolam renang apabila berdepan dengan alahan kulit, iritasi pada mata dan banyak lagi masalah lain apabila berenang terlalu lama di dalam kolam air menggunakan klorin.
Namun, kini mereka tidak perlu berasa gusar apabila berkunjung ke kolam renang K Club di Taman Melawati, Kuala Lumpur yang terletak berdekatan Zoo Negara di Hulu Kelang.
Apa yang membezakan empat kolam renang ditawarkan K Club berbanding tempat lain adalah ia merupakan kolam renang pertama di Asia Pasifik yang bebas daripada penggunaan klorin. Ini kerana kolam renang itu menggunakan teknologi dari Jerman yang dikenali sebagai REDO Water Systems.
Pengarah Urusan REDO Water Systems, Attilia Galambodi berkata, kolam renang K Club merupakan perintis teknologi solusi rawatan air mesra alam REDO Water Systems di Malaysia.

AKTIVITI renang menjadi lebih menyeronokkan apabila kolam renang bebas daripada klorin.


“Inovasi teknologi REDO tidak menggunakan sebarang bahan kimia dalam rawatan air dicemari bakteria sebaliknya hanya memerlukan garam, kuasa elektrik dan air. Pemasangan teknologi ini juga amat mudah dan boleh dikendalikan oleh sesiapa sahaja, menjadikannya teknologi mesra alam serta pengguna.
“Sebagai contoh, penggunaan 10 gram (g) garam, 16 watt kuasa elektrik dan satu liter air boleh menyahjangkit sebanyak 1,000 liter air. Jadi ia amat menjimatkan dan sangat efisien,” katanya ketika ditemui Kosmo! di K Club baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, dengan cara tersebut air rawatan yang menggunakan teknologi itu akan menjadi lebih berkualiti dan selamat apabila digunakan sekali gus dapat memastikan kesihatan pengguna.
Ujarnya, pembangunan inovasi teknologi REDO yang dibangunkan pada tahun 2002 adalah untuk menggantikan klorin dalam rawatan air.
Merawat air bersih
“Penggunaan klorin dalam rawatan air boleh mendatangkan bahaya, memerlukan kos yang tinggi dan sukar dikendalikan jika tidak mempunyai latihan mencukupi.
“Kami membangunkan teknologi ini bukan sahaja untuk digunakan kolam renang tetapi, boleh diguna pakai dalam pelbagai sektor melibatkan rawatan air,” katanya lagi.
Galambodi menambah, apabila pengguna menggunakan teknologi ini, air tidak berbau, tiada iritasi mata dan paling penting ia selamat untuk kanak-kanak.

KOLAM renang K Club yang tidak menggunakan klorin merupakan projek perintis REDO Water System di Malaysia.


Katanya, ia sejajar dengan wawasan REDO Water Systems yang ingin membangunkan teknologi mesra alam, menjimatkan kos dan efisien.
Selain rawatan air kolam renang, beliau memberitahu sasaran utama perniagaan REDO Water Systems adalah rawatan air minuman.
Katanya, teknologi yang pernah memenangi anugerah pada tahun 2004 itu turut digunakan dalam sektor pertanian dan perladangan seperti ternakan ikan, ayam, lembu, kambing dan sebagainya kerana ia dapat membantu meningkatkan produktiviti.
“Dalam sektor pertanian dan perladangan, produktiviti amat penting. Apabila air bersih dan sihat, ternakan serta tanaman akan menghasilkan lebih banyak hasil sekali gus meningkatkan produktiviti.
“Kita juga turut melibatkan diri dalam sektor pengangkutan dan pembangunan seperti hotel, hospital, pejabat dan banyak lagi untuk meluaskan lagi penggunaan teknologi ini. Pendek kata di mana tempat memerlukan air bersih dan sihat, kami akan berasa di situ,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Besar REDO Water Systems Asia, Andrew Lim Hai Guan, menambah, sehingga kini teknologi REDO Water Systems telah diguna pakai di 24 buah negara seluruh dunia.
“Antara negara yang telah menggunakan teknologi kami termasuk Jerman, Venezuela, Portugal, Republik Czech, Filipina, Indonesia, Mesir, India dan banyak lagi.
“Teknologi ini masih baru malah mudah dipasang sehingga sukar orang mempercayai kehebatannya. Pelanggan yang telah mencuba REDO Water Systems melahirkan rasa puas hati kerana ia mesra alam, menjimatkan kos dan efisien,” ujarnya lagi.
Air tidak berbau
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif K Club Worldwide Sdn. Bhd., Jimmy C.K. Yang berkata, empat kolam renang kelab tersebut mula menggunakan teknologi REDO Water Systems sejak September tahun lalu.

GALAMBODI (kiri) dan Andrew bercadang memperkenalkan teknologi rawatan air bersih ini secara lebih meluas.


“Saya mendapati pengunjung yang menggunakan kolam renang tersebut memberi maklum balas positif kerana air tidak berbau dan tidak menyakitkan mata mereka.
“Pengunjung mengakui bahawa air kolam kami berbeza berbanding kolam renang lain kerana kualiti air lebih bersih dan selamat,” ujarnya lagi.
Jimmy menambah, penggunaan teknologi tersebut bukan sahaja menghindarkan pekerja-pekerja daripada mengendalikan bahan berbahaya tetapi, memberi kepuasan kepada pelanggan.
Katanya, pelaburan terhadap teknologi tersebut dilakukan untuk kepentingan dan keselamatan pelanggan untuk masa hadapan.

No comments:

Post a Comment